
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam insiden tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini, hari ini.
Dalam kenyataan pada Rabu, MCMC menggesa orang ramai agar bertindak dengan penuh tanggungjawab serta tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan yang memaparkan mangsa, pelajar lain atau lokasi kejadian.
More interested news..
“Sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya,” menurut kenyataan itu.
MCMC menjelaskan bahawa tindakan menyebarkan gambar atau video berkaitan bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, tetapi juga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Suruhanjaya itu turut mengingatkan bahawa individu yang mengedarkan atau berkongsi kandungan sebegitu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara bagi kesalahan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas disyaki menikam seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika kedua-dua pelajar dipercayai berada di luar kelas.
Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami dalam kejadian berkenaan.











