
KUALA LUMPUR, 23 Julai 2025 — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa seramai 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bakal menerima bantuan tunai RM100 secara one-offmenerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.
Bantuan ini akan dikreditkan terus ke dalam sistem MyKad dan boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas di lebih 4,100 lokasi berdaftar, termasuk Mydin, Lotus’s, Econsave, 99Speedmart serta rangkaian kedai runcit di seluruh negara.
More interested news..
“Ini adalah bantuan tunai pertama seumpamanya yang diagihkan secara menyeluruh kepada semua rakyat dewasa, tanpa mengira latar belakang pendapatan,” ujar Anwar dalam ucapannya bertajuk Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia di Putrajaya pagi tadi.
Inisiatif ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan program tunai SARA dan STR bagi tahun 2025 meningkat kepada RM15 bilion, berbanding RM13 bilion sebelum ini.
Bantuan ini disalurkan secara individu, bukan berdasarkan isi rumah. Sebagai contoh, setiap ahli keluarga dewasa – termasuk suami, isteri dan anak-anak berumur 18 tahun ke atas – akan menerima RM100 setiap seorang.
Kerajaan turut menyeru golongan berpendapatan tinggi yang tidak memerlukan bantuan ini agar tidak membelanjakannya. Sebarang baki yang tidak digunakan menjelang 31 Disember 2025 akan dikembalikan secara automatik ke dalam tabung bantuan untuk golongan rentan tahun 2026.
Anwar menegaskan bahawa langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup dan memastikan agihan kekayaan negara dirasai secara langsung oleh rakyat.











