Malaysia Tunjuk Keberanian Diplomatik, Anwar Hadir ke Kremlin atas Jemputan Putin

PETALING JAYA: Ketika banyak negara mengambil pendekatan berhati-hati terhadap Rusia, Malaysia memilih untuk hadir dengan penuh yakin di Kremlin melalui lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas jemputan Presiden Vladimir Putin.

Penganalisis politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, menyifatkan kunjungan ini sebagai simbol keberanian diplomatik yang jarang ditunjukkan oleh negara-negara bersaiz sederhana. “Ini adalah bukti Malaysia tidak gentar dengan persepsi luar dan sanggup mengambil langkah strategik demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.

Beliau berkata bahawa langkah ini memperkukuh imej Malaysia sebagai negara yang bebas membuat keputusan dasar luar, walaupun berdepan tekanan antarabangsa. “Pendekatan ini membolehkan Malaysia mengimbangi hubungan antara Barat dan Timur tanpa kehilangan prinsip atau maruah negara,” tambahnya.

Kehadiran Malaysia di Rusia juga menegaskan komitmen untuk membina hubungan jangka panjang yang dapat memanfaatkan ekonomi, teknologi, dan kestabilan politik negara.