Doktor Kontrak Terima Emel Tawaran Jawatan Tetap, Isu Bertahun Mula Diselesaikan

PETALING JAYA, 23 Julai – Ribuan doktor kontrak mula menerima emel rasmi tawaran pelantikan tetap, susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam — membawa sinar baharu dalam kerjaya sektor kesihatan awam yang telah lama dibelenggu ketidaktentuan.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif #MADANIBekerja, yang digerakkan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha memperkasa sektor awam melalui reformasi struktur, menjamin kestabilan kerjaya dan menambah baik sistem perkhidmatan awam negara.

Perkembangan positif ini dikongsi oleh kumpulan advokasi Hartal Doktor Kontrak (HDK) menerusi satu hantaran di Facebook, menyatakan bahawa ramai dalam kalangan doktor kontrak telah mula menerima emel tawaran tersebut sejak semalam.

“Mendapat perkhabaran ramai doktor kontrak telah mendapat emel tawaran penjawatan tetap selepas pengumuman Perdana Menteri,” menurut kenyataan HDK.

Isu pelantikan kontrak bagi pegawai perubatan mula timbul sejak 2016, apabila ramai graduan perubatan ditempatkan secara kontrak tanpa jaminan masa depan yang jelas. Usaha menyelesaikan isu ini telah berlarutan hampir satu dekad dan menjadi antara tumpuan utama dalam reformasi sistem kesihatan negara.

Menurut laporan sebelum ini, sebanyak 4,352 jawatan tetap akan diisi menjelang penghujung tahun 2025, melibatkan doktor perubatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Meskipun pengumuman ini disambut dengan kegembiraan, suara kebimbangan turut dizahirkan agar penambahbaikan ini turut merangkumi golongan jururawat, pegawai farmasi, dan pembantu perubatan yang masih berstatus kontrak.

“Harapnya pekerja kesihatan KKM berstatus kontrak yang lain juga akan mendapat tawaran tetap dalam masa terdekat,” kata HDK lagi.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan profesional dalam bidang kesihatan turut menyambut baik langkah ini, menyifatkannya sebagai titik tolak ke arah sistem kesihatan yang lebih mampan, adil dan berdaya tahan.

Bagi mereka yang terlibat, semakan lanjut mengenai status penjawatan boleh dibuat melalui portal rasmi KKM, dan penerima diminta untuk merujuk emel masing-masing serta memberi maklum balas segera bagi melengkapkan proses penempatan tetap.