Anwar ucap takziah atas pemergian pemimpin Namibia

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa sedihnya atas pemergian pemimpin kemerdekaan dan presiden pengasas Namibia, Sam Nujoma.

Dalam satu kenyataan rasmi, Anwar menyifatkan Nujoma sebagai seorang pejuang yang tidak mengenal putus asa dan memiliki semangat juang yang tinggi dalam membebaskan negaranya dari cengkaman dasar aparteid dan penjajahan.

“Komitmen yang tidak goyah, ketabahan, dan keazaman beliau telah membebaskan Namibia dari penjajahan serta pemerintahan apartheid, membawa negara itu kepada kemerdekaan yang diperoleh dengan perjuangan panjang pada tahun 1990.

“Beliau sememangnya telah memperoleh tempat yang sewajarnya sebagai salah seorang pembina negara yang paling berpengaruh di Afrika,” kata Anwar.

Anwar juga mengimbau kembali peranan penting Malaysia dalam membantu proses peralihan Namibia ke arah pemerintahan sendiri melalui United Nations Transition Assistance Group (UNTAG) yang mengawasi pilihan raya dan peralihan Namibia kepada pemerintahan sendiri.

Anwar berkata, Malaysia akan sentiasa mengingati detik bersejarah itu dengan rasa kepuasan yang tenang.
“Pada masa itu, kini, dan selamanya, kami berdiri teguh dalam solidariti bersama rakyat Namibia.

Kami bersama mereka dalam berkabung atas pemergian seorang pemimpin yang dengan keyakinan yang membara telah memperoleh kemerdekaan, namun juga dengan kebijaksanaan yang memupuk jalan menuju rekonsiliasi dan kemajuan,” tambah Anwar.

Anwar menegaskan bahawa warisan Sam Nujoma akan terus dikenang sebagai contoh semangat kepimpinan yang memberi inspirasi kepada dunia dalam perjuangan untuk kebebasan, keadilan, dan kedamaian.