
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.
Menurut beliau, permohonan itu bukan bertujuan mendapatkan kekebalan peribadi, sebaliknya melibatkan soal prinsip perlembagaan dan perlindungan terhadap jawatan awam tertinggi daripada tindakan undang-undang bermotif politik.
More interested news..
“Isu ini menyentuh integriti sistem perlembagaan dan keperluan menjaga kestabilan institusi, bukan soal mengelak semakan undang-undang,” kata Anwar dalam kenyataan di Facebook.
Beliau menegaskan komitmen terhadap kedaulatan undang-undang dan menyatakan bahawa proses perundangan akan diteruskan tanpa menjejaskan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri.
Susulan keputusan itu, pasukan guamannya memaklumkan bahawa rayuan akan difailkan di Mahkamah Rayuan hari ini berdasarkan Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.
Permohonan asal difailkan pada 23 Mei lalu bagi merujuk lapan persoalan undang-undang termasuk sama ada Perdana Menteri yang sedang berkhidmat mempunyai kekebalan bersyarat terhadap tindakan sivil berkaitan dakwaan sebelum pelantikan.











