
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN kekal sebagai model kestabilan dan keterbukaan meskipun berdepan pergolakan global, dengan berpegang kepada prinsip perdagangan terbuka, kerjasama serantau dan pendirian berkecuali.
Menurut Anwar, sejak penubuhannya pada 1967, ASEAN membina reputasi sebagai rantau yang sinonim dengan keamanan, dialog dan dinamisme melalui budaya konsensus, komunikasi terbuka serta solidariti. Prinsip inilah yang membolehkan blok serantau mengurus ketegangan, mencegah konflik serta memacu kemakmuran di kawasan paling berbilang kaum di dunia.
More interested news..
- “Pencarum Sambut Baik Dividen KWSP 6.3%, Isyarat Keyakinan Terhadap Tadbir Urus dan Ekonomi”
- Pindaan Akta 588 bezakan nilai kompaun Harith, Cecelia dengan Maestra – Fahmi
- Kerajaan Akan Wajib Had Umur Pengguna Media Sosial – Fahmi
- MCMC Tegas: Penutupan Saluran Telegram Ancaman Ekstremisme Berjaya Dilaksanakan
Beliau berkata semangat solidariti ASEAN diuji baru-baru ini apabila Malaysia sebagai pengerusi berjaya memediasi konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja sehingga mencapai gencatan senjata segera.
“Perkara ini membuktikan nilai dialog, saling menghormati dan keyakinan rakyat ASEAN terhadap peranan blok ini sebagai penjaga keamanan,” katanya menerusi artikel di portal Project Syndicate pada Khamis.
Dalam konteks cabaran dunia hari ini, katanya, kedudukan pusat (centrality) ASEAN bukan lagi sekadar aspirasi diplomatik tetapi keperluan mendesak, khususnya ketika dunia berdepan persaingan kuasa besar, konflik ekonomi dan kemerosotan keyakinan terhadap multilateralisme.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei lalu turut mencatat sejarah apabila semua negara anggota bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11, melambangkan komitmen blok itu terhadap keterangkuman dan perpaduan.
Dengan populasi seramai 660 juta orang, ASEAN dilihat sebagai pasaran paling dinamik dunia. Namun, Anwar menegaskan bahawa rantau ini perlu merapatkan jurang pembangunan serta memperkukuh keterhubungan adil antara negara anggota bagi merealisasikan potensinya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung Oktober ini di Kuala Lumpur dijangka menumpukan usaha menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif, serta memperbaharui komitmen terhadap perdagangan inklusif dan mampan.
Dalam aspek ekonomi, Anwar menekankan kepentingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebagai teras struktur ekonomi serantau, selain memperluas kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China, India, Korea Selatan dan lain-lain.
Beliau turut menyatakan ASEAN sedang mempercepat pelaksanaan rangka kerja ekonomi digital dengan memberi tumpuan kepada teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), yang dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama.
“Semua inisiatif ini, meliputi perdagangan, teknologi dan keterhubungan – mempunyai tujuan utama iaitu mempertahankan autonomi ASEAN di era penuh ketidaktentuan,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar menekankan kepentingan agenda kelestarian, termasuk pembangunan Grid Tenaga ASEANyang dijangka menjamin keselamatan tenaga jangka panjang, mewujudkan pekerjaan hijau serta memastikan masa depan mampan.
“Tegasnya, nasib ASEAN bergantung kepada perpaduan serantau. Kita mesti berani membentuk masa depan berpandukan nilai asas penubuhan ASEAN agar blok ini terus menjadi mercu tanda keamanan, kemakmuran dan kemajuan untuk generasi akan datang,” katanya.











