PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa tindakan memperlekeh atau mempersendakan amalan keagamaan mana-mana penganut adalah bertentangan dengan prinsip Islam dan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, dalam satu kenyataan hari ini menekankan pentingnya menghormati sensitiviti keagamaan dalam masyarakat majmuk, khususnya di Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan agama.
More interested news..
“Tindakan mempermainkan atau mempersendakan agama lain, sama ada melalui lisan, tulisan, perbuatan mahupun kandungan digital di media sosial, boleh mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk menjaga adab dalam interaksi antara agama serta memastikan setiap kenyataan dan perbuatan tidak menyinggung perasaan mana-mana komuniti keagamaan.
Menurut Dr Sirajuddin, Islam sebagai agama yang mementingkan keamanan dan kesejahteraan mengajarkan umatnya untuk menghormati penganut agama lain.
“Al-Quran dalam Surah al-An’am dengan jelas mengingatkan kita agar tidak mencela sembahan yang disembah oleh orang lain selain Allah, bagi mengelakkan mereka pula mencela Allah dalam kejahilan,” katanya.
Jelas beliau, ajaran Islam bukan sahaja menolak sikap ekstrem terhadap agama lain, malah menggalakkan toleransi serta saling menghormati dalam masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.











