
PUTRAJAYA, 23 Julai – Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan Program Jualan Rahmah kepada RM600 juta bagi tahun 2025, iaitu dua kali ganda berbanding RM300 juta yang diperuntukkan pada tahun sebelumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyampaikan ucapan khas bertajuk “Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia”, berkata peningkatan itu adalah sebahagian daripada langkah segera kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup yang berterusan.
More interested news..
Menurut beliau, dana tambahan tersebut akan digunakan untuk menambah kekerapan pelaksanaan program, memperluas lokasi jualan ke seluruh negara serta menambah jenis barangan asas yang ditawarkan kepada rakyat.
“Peruntukan tambahan ini akan digunakan untuk menambah kekerapan program, memperluaskan lokasi jualan ke seluruh negara dan menambah jenis barangan ditawarkan, demi memberi lebih banyak pilihan serta manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Program Jualan Rahmah MADANI akan diperluaskan ke semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dan dijangka memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana melalui akses kepada barangan keperluan harian pada harga yang jauh lebih rendah berbanding pasaran biasa.
Antara barangan yang ditawarkan dalam program ini termasuk beras, minyak masak, ayam, telur, dan sayur-sayuran, yang menjadi keperluan asas harian isi rumah.
Anwar berkata, sambutan luar biasa daripada rakyat terhadap program ini membuktikan keberkesanannya dalam membantu meringankan beban perbelanjaan harian, sekali gus menjadikan ia antara instrumen penting dalam dasar kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup secara langsung.
“Penekanan utama kerajaan adalah untuk memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai di akar umbi. Program seperti Jualan Rahmah adalah cerminan komitmen kita dalam memastikan pertumbuhan ekonomi bukan hanya tercatat dalam angka, tetapi turut menyentuh kehidupan rakyat secara nyata,” jelas beliau.
Tambahnya, langkah ini mencerminkan prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan keadilan sosial, keprihatinan rakyat dan pengagihan hasil negara yang lebih saksama.











