Peserta Global Sumud Flotilla Dibawa Ke Pelabuhan Ashdod, Malaysia Terus Pantau Perkembangan

Aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, mengesahkan bahawa peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel telah mula tiba di pelabuhan Ashdod, Israel pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu memaklumkan barisan peguam GSF kini sedang berhubung dengan peserta terbabit bagi menyediakan khidmat guaman sewajarnya.

“Insya-Allah, wira dan wirawati Sumud yang ditangkap sudah mula sampai ke pelabuhan penjajah di Ashdod. Para peguam GSF telah mula berhubung dengan mereka untuk diberikan khidmat guaman. Paling awal, esok pagi kami akan kongsikan perkembangan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Nadir, bersama tiga lagi sukarelawan Malaysia, dilaporkan masih berada di Laut Mediterranean menerusi kapal Jong Melayu yang berperanan sebagai pemerhati misi.

Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri mengesahkan seramai 23 rakyat Malaysia yang ditahan berada dalam keadaan selamat serta akan dihantar pulang melalui sebuah negara ketiga.

Sementara itu, lima peguam Malaysia – Dir Kheizwan Kamaruddin, Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan – kini berada di Amman, Jordan. Mereka bekerjasama dengan The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) serta pasukan guaman antarabangsa bagi memastikan perlindungan telus dan adil kepada delegasi Malaysia.

Misi GSF menghimpunkan lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, dengan tujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza. Konvoi ini turut membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan sebagai tuntutan membuka koridor kemanusiaan ke wilayah berkenaan.

Antara tokoh antarabangsa yang menyertai konvoi bersejarah ini ialah aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon dan Liam Cunningham, bekas Datuk Bandar Barcelona Ada Colau, empat Ahli Parlimen Itali serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela.