
PETALING JAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, selepas menolak rayuan terakhirnya berhubung kes mengabaikan dan mendera remaja sindrom Down, Bella.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Azman Abdullah sebulat suara menolak rayuan Siti Bainun untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Seksyen pada 3 Mei 2023, sambil menegaskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
More interested news..
“Kecederaan dialami mangsa bukan akibat kemalangan atau perbuatan sendiri, sebaliknya jelas berpunca daripada penderaan sebagaimana disokong keterangan saksi,” katanya. Antara kecederaan yang direkodkan termasuk luka pada tangan, kesan lama di kepala, muka, leher dan belakang, serta kesan melecur.
Hakim turut menyifatkan bahawa “haiwan yang tidak mempunyai akal pun tidak tergamak mendatangkan kecederaan sedemikian”.
Mahkamah Seksyen sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan mengabaikan dan 12 tahun bagi kesalahan mendera, namun kedua-duanya berjalan serentak. Siti Bainun, 33, juga diperintah menandatangani bon berkelakuan baik bernilai RM5,000 selama lima tahun, dengan seorang penjamin, serta melaksanakan 200 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.
Keputusan itu sebelum ini turut dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada Mei tahun lalu.











