Meta dalam proses akhir serah dokumen lesen media sosial

Gergasi media sosial, Meta kini dalam peringkat akhir mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan (ASP) di Malaysia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata syarikat induk Facebook dan Instagram itu sedang menyiapkan dokumentasi untuk memenuhi keperluan perundangan khas sebagai sebahagian daripada proses pelesenan itu.

“Meta dalam proses akhir menyerahkan beberapa dokumen.”

Fahmi berkata penyedia platform lain seperti Google dan X sedang melalui penilaian bagi memastikan status pematuhan mereka.

Walaupun Google mendakwa mereka bukan platform media sosial, namun pihak kementerian tetap dengan pendirian bahawa beberapa bahagian YouTube di bawah Google seperti YouTube Shorts berfungsi seperti media sosial, menyerupai TikTok.

Tambahnya, perbincangan juga sedang dijalankan bersama Microsoft yang memiliki LinkedIn, susulan laporan menunjukkan pangkalan pengguna Malaysia di platform itu boleh melebihi lapan juta dalam suku pertama 2025.