
PETALING JAYA: Empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan Tencent (WeChat) telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C), menjadikannya penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan bawah keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.
More interested news..
- MCMC telah diarah ambil tindakan terhadap video kontroversi Aliff Syukri – Fahmi
- SKMM lapor polis, dakwa Chegubard, Salim Iskandar dan Papagomo buat fitnah
- MCMC rakam percakapan MyNewsHub susulan penularan video didakwa berniat jahat
- MCMC selesai rakam percakapan pengendali MyNewsHub, sita telefon bimbit suspek
Selain WeChat, ByteDance (TikTok) juga berjaya memperoleh lesen mereka manakala Telegram di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka menerima lesen dalam masa terdekat.
“Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, dan WhatsApp telah memulakan proses mendapatkan lesen untuk mengendalikan platform berkenaan di negara ini, yang juga dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi,” menurut MCMC dalam satu kenyataan.
Sementara itu X dan Google setakat ini masih belum mengemukakan permohonan masing-masing.
X memaklumkan bahawa jumlah pengguna platform itu di Malaysia tidak mencapai nilai ambang iaitu lapan juta pengguna.
Bagi Google pula terdapat beberapa isu dibangkitkan berkaitan ciri-ciri perkongsian video di YouTube dan klasifikasinya bawah Kerangka Pelesenan.
Bagaimanapun MCMC telah membincangkan isu bekenaan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform berkaitan memenuhi kriteria pelesenan tertakluk kepada kewajipan dan tanggungjawab untuk mematuhi Kerangka Pelesenan, yang kini telah berkuat kuasa.
Keperluan pelesenan yang berkuat kuasa hari ini, membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, meningkatkan perlindungan kepada pengguna terutama kanak-kanak dan golongan rentan serta menambah baik kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia.
Dalam pada itu MCMC turut memuji usaha penyedia perkhidmatan yang telah mengambil langkah ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan.
Menurut MCMC usaha tersebut penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia.











