Anwar Hubungi Setiausaha Negara As, Desak Pembebasan Aktivis Sumud Flotilla

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghubungi Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio petang ini bagi mendesak campur tangan segera dalam usaha membebaskan 23 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Menurut Perdana Menteri, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha diplomatik intensif yang sedang digerakkan kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa untuk menjamin keselamatan aktivis serta sukarelawan negara, selain memastikan bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat disalurkan tanpa halangan.

“Kerajaan sedang memanfaatkan segala saluran diplomatik yang sedia kuat di peringkat antarabangsa untuk membebaskan aktivis dan sukarelawan Malaysia. Apa yang didakwa sebagai kesalahan mereka hanyalah kerana membawa prinsip kemanusiaan, membantu yang lemah, kelaparan dan sakit termasuk wanita serta kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi; dan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan sokongan serantau dalam menangani insiden tersebut.

Penahanan aktivis dan sukarelawan itu berlaku awal pagi Khamis apabila kapal GSF yang membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas ke Gaza dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan global dengan banyak pihak mendesak supaya Israel menghormati undang-undang antarabangsa serta tidak menghalang sebarang misi kemanusiaan.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim, menegaskan misi GSF sama sekali tidak melanggar mana-mana undang-undang antarabangsa kerana ia berperanan semata-mata untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Delegasi ini adalah misi kemanusiaan tulen. Mereka tidak membawa sebarang agenda politik atau ketenteraan. Apa yang dibawa hanyalah bantuan asas yang sangat diperlukan oleh rakyat Gaza,” katanya.

Kerajaan Malaysia, jelas Anwar, akan terus memperkukuh kerjasama dengan negara sahabat serta pertubuhan antarabangsa bagi memastikan keselamatan warganya terjamin dan perjuangan kemanusiaan untuk Palestin tidak terhenti.