
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan sebanyak 279 arahan kepada penyedia perkhidmatan mudah alih di seluruh negara susulan ketidakpatuhan terhadap piawaian minimum kualiti internet.
Menerusi kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan arahan itu dikeluarkan hasil pemantauan berterusan di bawah Penentuan Suruhanjaya No.2 Tahun 2023, yang menetapkan pematuhan kepada Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) untuk perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar.
More interested news..
“Pemantauan mendapati beberapa penyedia gagal memenuhi tahap prestasi minimum yang memberi kesan langsung terhadap pengalaman pengguna, termasuk di kawasan bandar dan luar bandar,” kata MCMC.
Daripada jumlah tersebut, YTL Communications menerima 154 arahan, diikuti CelcomDigi (50), TM Technology Services (38), U Mobile (27) dan Maxis (10).
MSQoS menilai kualiti perkhidmatan berdasarkan beberapa indikator utama seperti kelajuan muat turun, kependaman rangkaian, kehilangan paket, ketersediaan perkhidmatan serta prestasi penstriman video dan akses laman web.
“Mana-mana penyedia yang gagal membuat penambahbaikan dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan penalti sehingga RM500,000 bagi setiap ketidakpatuhan, seperti diperuntukkan di bawah subseksyen 105(5) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelas MCMC.
Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa pihaknya komited untuk memastikan mutu perkhidmatan telekomunikasi memenuhi jangkaan pengguna dan tidak dikompromi oleh kelalaian penyedia.
Dalam masa sama, MCMC menyeru syarikat penyedia untuk mengambil serius arahan pembetulan dan melaksanakan pelan penambahbaikan segera demi menjaga kualiti perkhidmatan.
Rekod terdahulu menunjukkan sebanyak 229 arahan dikeluarkan pada tahun 2022, 208 pada 2023, tiada arahan pada 2024, dan 547 setakat tahun 2025, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 984 arahan sejak 2022.
“MCMC akan terus mempertingkat penguatkuasaan demi memastikan rakyat mendapat akses internet berkualiti tinggi yang adil dan saksama di seluruh negara,” kata kenyataan itu.











