Anwar Gerakkan Saluran Diplomatik, Hubungi Pemimpin Dunia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia sedang menggerakkan sepenuhnya kekuatan hubungan diplomatik antarabangsa bagi membebaskan aktivis dan sukarelawan negara yang ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

“Kerajaan sedang memanfaatkan segala saluran diplomatik yang sedia kuat di peringkat antarabangsa untuk membebaskan aktivis dan sukarelawan Malaysia,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Khamis.

Misi GSF yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dilaporkan telah dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa, mencetuskan kebimbangan global serta desakan tindakan segera.

Menurut Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby, Perdana Menteri telah menyatakan kesediaan untuk menghubungi beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi; dan pihak berkuasa Arab Saudi bagi membincangkan langkah segera menyelamatkan delegasi Malaysia.

“Pada jam 9.38 pagi, Perdana Menteri menghubungi saya dan menyatakan kesediaan beliau untuk berhubung dengan rakan sejawat dari Turkiye, Mesir dan Arab Saudi. Kita mohon Perdana Menteri mewakili suara rakyat Malaysia melalui laluan diplomatik dan hubungan erat Malaysia dengan negara-negara besar,” katanya.

Dr. Sani turut memaklumkan bahawa rundingan susulan akan diteruskan dengan beberapa negara lain termasuk United Kingdom (UK) dan Sepanyol bagi memastikan keselamatan semua sukarelawan yang terlibat dalam misi berkenaan.