
Malaysia akan mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu bertujuan melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh setiap platform benar-benar dipatuhi.
More interested news..
- Agong kurnia sumbangan peribadi 25,000 kampit beras kepada asnaf sepanjang Ramadan
- 60 Tahun Singapura: Dari Mitos Dilanggar Todak Ke Pelabuhan Terbaik Dunia
- “PM Tidak Minta Kekebalan Mutlak, Hanya Mahu Tafsiran Perlembagaan – Shamsul Iskandar”
- KKM dan MCMC Perkasa Kesihatan Digital: Dron Hantar Ubat ke Pedalaman Sabah
“Saya telah memaklumkan kepada wakil platform media sosial bahawa Malaysia akan mewajibkan proses pengesahan identiti pengguna, terutama bagi memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program NADI on Wheels (NOW) di Dewan Undangan Negeri Sindumin pada Rabu.
Beliau menambah, satu mesyuarat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan wakil platform media sosial akan diadakan minggu depan sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan dasar tersebut. “Tempoh pelaksanaannya akan saya laporkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum diumumkan secara rasmi,” jelasnya.
Selain isu kanak-kanak, Fahmi berkata pelaksanaan eKYC turut penting bagi membanteras penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya, termasuk iklan palsu serta aktiviti perjudian. Menurutnya, banyak platform disalah guna oleh penjenayah, dan 78 peratus daripada semua kandungan penipuan yang telah diturunkan datang daripada Facebook.
Kerajaan melalui MCMC juga sedang menumpukan usaha memperluas capaian digital ke seluruh negara, termasuk melalui inisiatif NADI on Wheels (NOW) dan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026. Projek SALAM akan menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah, termasuk laluan kabel dasar laut dari Tanjung Aru ke Tawau yang dijangka siap dalam dua hingga tiga tahun.
Fahmi menegaskan bahawa kementerian komited memastikan infrastruktur telekomunikasi di Sabah terus diperkukuh melalui penyelenggaraan menara komunikasi dan penggunaan sistem jana kuasa hibrid bagi menghadapi bencana banjir.











