
KOTA KINABALU, 23 Julai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memeterai satu kerjasama strategik bagi memperkasa transformasi kesihatan digital negara, khususnya bagi memperluas akses perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sebagai permulaan, satu projek perintis akan dilaksanakan di Sabah, melibatkan penghantaran ubat menggunakan dron dari Klinik Kesihatan Tawau ke dua Pusat Ekonomi Digital (NADI) berdekatan. Sabah dipilih berdasarkan liputan 4G yang mencapai 94.4% dan 5G pada tahap 69%, serta cabaran geografi yang memerlukan penyelesaian inovatif.
More interested news..
Menurut kenyataan bersama KKM dan MCMC, kolaborasi ini akan memacu lapan inisiatif utama, antaranya:
- Pembinaan prasarana komunikasi untuk perkhidmatan kesihatan masa depan,
- Penggunaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di klinik desa dan komuniti,
- Penempatan kiosk telekesihatan di Pusat NADI sebagai akses awal kepada konsultasi maya,
- Penghantaran ubat menggunakan dron ke kawasan sukar akses,
- Peningkatan keselamatan siber di fasiliti kesihatan,
- Penyediaan geran pengadaptasian EMR,
- Penubuhan Hab Inovasi Hospital Pintar, serta
- Penyertaan Malaysia dalam platform kesihatan digital global.
Inisiatif ini akan diperluaskan melalui 1,099 Pusat NADI di seluruh negara yang akan bertindak sebagai penghubung utama bagi rawatan susulan, pemantauan kesihatan dan penghantaran ubat, dengan sokongan teknologi pengkomputeran awan dan sistem e-Kesihatan.
Kerjasama ini turut memberi fokus kepada literasi digital kesihatan dalam kalangan komuniti setempat, bagi meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan dan keselamatan perkhidmatan kesihatan digital.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan awam melalui pendekatan moden dan inklusif.
“Ia adalah penyelesaian inovatif dan mesra rakyat yang amat signifikan untuk mendepani cabaran penjagaan kesihatan masa kini, terutamanya di kawasan pedalaman dan sukar akses,” katanya.Langkah ini juga sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kesihatan digital serantau, serta merealisasikan visi ‘1 Individu, 1 Rekod’ dalam sistem kesihatan negara.











