
PETALING JAYA: Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Persekutuan bukan bertujuan mengelak tindakan undang-undang, sebaliknya bagi mendapatkan tafsiran sah mengenai kedudukan seorang Perdana Menteri dalam kes sivil.
Penjelasan itu dibuat oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, susulan dakwaan Lawyers for Liberty (LFL) bahawa Anwar cuba meraih kekebalan undang-undang dalam kes sivil difailkan oleh Muhammad Yusoff Rawther.
More interested news..
“Tiada permohonan untuk kekebalan mutlak. Permohonan ini adalah usaha yang sah bagi menentukan sama ada dakwaan sebelum pelantikan boleh menjejaskan tugas rasmi seorang Perdana Menteri,” katanya.
Shamsul turut menyifatkan kenyataan LFL sebagai mengelirukan dan berpotensi mencipta persepsi salah di kalangan rakyat untuk tujuan politik.
Beliau menegaskan Perdana Menteri tidak kebal dari undang-undang, namun perlu dilindungi daripada tindakan bermotif politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.
“Dalam sistem demokrasi lain pun, isu qualified immunity dibincangkan secara terbuka untuk mengimbangi keperluan pentadbiran dan perlindungan individu,” tambahnya.
Shamsul turut menggesa agar pertikaian berkaitan diserahkan kepada mahkamah dan tidak dimanipulasi sebagai bahan retorik politik.
“Perbezaan pandangan harus diselesaikan melalui saluran undang-undang, bukan dengan memainkan emosi rakyat,” tegas beliau.











