
PETALING JAYA, 15 Julai 2025 – Pernah alami situasi di mana signal telefon tiba-tiba hilang ketika memandu di lebuh raya? Waze tersangkut, panggilan kecemasan gagal dibuat, dan capaian internet langsung tidak stabil? Isu ini mungkin tidak asing lagi bagi pengguna lebuh raya di Malaysia.
Kini, berita baik menanti semua pengguna jalan raya. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah melancarkan satu inisiatif baharu untuk mengatasi masalah liputan internet lemah di sepanjang lebuh raya utama negara. Projek ini dinamakan “Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet”, satu langkah strategik ke arah memastikan setiap kilometer lebuh raya kekal berhubung secara digital.
More interested news..
- Sasaran 500,000 Rumah Mampu Milik RMK12 Hampir Selesai, Capai 98.8 Peratus
- Kerajaan Cadang Naikkan Had Umur Pengguna Media Sosial Kepada 16 Tahun
- “RM200 Juta Untuk Naik Taraf Internet di Institusi MARA – Fahmi”
- Peserta Global Sumud Flotilla Dibawa Ke Pelabuhan Ashdod, Malaysia Terus Pantau Perkembangan
Melalui pelan ini, lebih 50 kilometer kawasan yang dikenalpasti sebagai ‘blind spot’ akan dinaik taraf dalam Fasa Kedua Pelan JENDELA. Kawasan-kawasan yang dikenal pasti termasuk lokasi kritikal seperti laluan berbukit, selekoh tajam, terowong, serta hentian Rehat dan Rawat (R&R). Laluan antara bandar yang jauh daripada menara pemancar juga termasuk dalam skop naik taraf ini.
Jurucakap MCMC menjelaskan bahawa usaha ini bukan sahaja untuk kemudahan pengguna, tetapi juga bagi menjamin aspek keselamatan di lebuh raya. Mereka menekankan bahawa dalam era digital kini, kehilangan capaian internet bukan lagi satu isu kecil kerana ia boleh memberi kesan kepada sistem navigasi, komunikasi dan bantuan kecemasan.
Inisiatif ini juga dijangka memberi kesan positif kepada komuniti dan pihak lain yang berada berhampiran lebuh raya. Penduduk sekitar kawasan terbabit, yang sebelum ini mengalami kesukaran mendapatkan akses internet, akan turut merasai manfaat secara langsung. Peniaga kecil di R&R yang bergantung kepada pembayaran tanpa tunai dan platform jualan atas talian pula dijangka dapat menjalankan urus niaga dengan lebih lancar. Dalam situasi kecemasan, akses pantas kepada talian komunikasi juga akan lebih terjamin, sekali gus memudahkan tindakan pantas oleh ambulans, peronda lebuh raya dan perkhidmatan tunda.
Kerja pemetaan lokasi bagi projek ini telah pun bermula, dan pelaksanaan akan dijalankan secara berperingkat mengikut keutamaan kawasan yang paling kritikal, berdasarkan tumpuan trafik dan jumlah aduan yang diterima. Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan, orang ramai turut digalakkan untuk memuat turun aplikasi Nexus, yang membolehkan mereka melaporkan lokasi liputan yang lemah, bagi membantu pemetaan dilakukan dengan lebih tepat dan efisien.
Bagi mempercepatkan pelaksanaan, MCMC dan LLM turut menggunakan pendekatan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah dapat memastikan lebih banyak kawasan diliputi dalam tempoh masa yang lebih singkat.
Projek “Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet” dilihat sebagai salah satu komponen penting dalam aspirasi kerajaan untuk mewujudkan sebuah sistem lebuh raya digital menjelang 2030, yang bukan sahaja moden dan berteknologi tinggi, tetapi juga inklusif dan selamat untuk semua.











