
Kerajaan mencadangkan untuk menaikkan had umur minimum pengguna media sosial daripada 13 tahun kepada 16 tahun bagi melindungi golongan remaja daripada risiko keselamatan digital serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata cadangan tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat, dan akan dilaksanakan selaras dengan amalan di beberapa negara lain seperti Australia dan Indonesia.
More interested news..
“Cara had umur ini akan dikuatkuasakan melalui proses pendaftaran menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID,” katanya pada sidang media mingguan di sini.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan syarikat serta platform media sosial utama di Singapura minggu depan bagi memperincikan pelaksanaan cadangan tersebut.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna muda dalam ruang digital terus terjamin, di samping membina budaya penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab.
Fahmi turut memaklumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian menyeluruh berhubung isu yang melibatkan pelajar sekolah, termasuk kesan pengaruh media sosial terhadap tingkah laku mereka.
Cadangan menaikkan had umur ini hadir susulan kebimbangan awam terhadap peningkatan kes buli dan ketagihan media sosial dalam kalangan remaja. Beberapa negara lain juga telah melaksanakan langkah serupa dengan mengaitkan had umur pengguna kepada tahap kematangan serta keselamatan digital.











