
Beberapa kapal yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan hilang hubungan selepas dilaporkan dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa awal pagi tadi.
Menurut sumber misi, hanya sebuah kapal yang masih dapat dihubungi setakat ini, manakala status kapal-kapal lain yang membawa aktivis dan sukarelawan antarabangsa belum diketahui.
More interested news..
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mendapatkan maklumat lengkap melalui saluran diplomatik bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang turut terlibat dalam misi tersebut.
“Kita sedang berhubung dengan pihak berkuasa antarabangsa dan rakan serantau untuk mendapatkan pengesahan mengenai keadaan sebenar. Keutamaan kerajaan adalah keselamatan aktivis serta memastikan bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak terhalang,” katanya.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim turut mengesahkan pihaknya tidak lagi menerima isyarat komunikasi daripada sebahagian kapal GSF sejak awal pagi.
Beliau menjelaskan misi tersebut tidak melanggar undang-undang antarabangsa kerana tujuannya semata-mata membawa bekalan perubatan, makanan dan bantuan asas kepada rakyat Palestin di Gaza.
Kehilangan komunikasi itu menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan keluarga aktivis serta masyarakat sivil, yang kini menuntut penjelasan segera daripada pihak berkuasa antarabangsa.











