
PUTRAJAYA, 1 Ogos 2025 – Kerajaan kini sedang merangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), iaitu pelan pembangunan lima tahun yang akan dilaksanakan dari tahun 2026 hingga 2030. RMK13 digubal sebagai strategi utama negara dalam melakar semula pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat, seiring dengan matlamat Kerajaan MADANI untuk membina masa depan yang lebih mampan, adil dan inklusif.
Tema utama RMK13 adalah “Melakar Semula Pembangunan Negara”, berlandaskan tiga teras penting yang menjadi panduan utama rancangan ini. Pertama, Malaysia akan digerakkan ke arah menjadi negara berteraskan kecerdasan buatan (AI), sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi digital serantau. Kedua, pembangunan sistem sosial yang berteraskan nilai-nilai Insan MADANI akan diberi keutamaan, dengan penekanan terhadap kemanusiaan, kerohanian dan jati diri yang teguh. Ketiga, RMK13 menumpukan usaha membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah.
More interested news..
Dalam kerangka pelaksanaannya, RMK13 memberi tumpuan kepada empat tonggak strategik utama iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi, memacu mobiliti sosial, mempercepat pelaksanaan agenda reformasi perkhidmatan awam serta mempertingkat kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Keseluruhan rancangan ini diterjemah melalui sembilan bidang keutamaan yang selari dengan agenda Ekonomi MADANI, termasuk peningkatan pertumbuhan industri bernilai tinggi, keseimbangan pembangunan antara wilayah, penyediaan perkhidmatan kerajaan yang telus dan tangkas, penurunan kos sara hidup serta usaha mencapai keadilan sosial yang lebih menyeluruh.
Rakyat dijangka menikmati pelbagai manfaat langsung hasil pelaksanaan RMK13. Ini termasuk bantuan tunai seperti STR dan SARA yang diteruskan untuk meringankan beban perbelanjaan, akses kepada makanan pada harga berpatutan menerusi program Payung Rahmah, dan pengurangan kos utiliti serta internet melalui Pakej Rahmah dan kaedah penggunaan masa. RMK13 turut merangkumi agenda reformasi perumahan menerusi pembinaan satu juta rumah mampu milik serta pelaksanaan skim sewa beli, selain peruntukan RM40 bilion untuk sektor kesihatan yang melibatkan pembinaan, naik taraf dan pendigitalan hospital serta klinik kerajaan.
Dalam aspek pekerjaan, RMK13 memperkenalkan peluasan gaji minimum kepada graduan dan lepasan TVET, serta dasar gaji kehidupan wajar yang lebih menyeluruh. Golongan sasar seperti Bumiputera, masyarakat Cina, India, Orang Asli, wanita, OKU serta anak negeri Sabah dan Sarawak turut mendapat perhatian khusus melalui pelbagai program pembangunan ekonomi, pendidikan, latihan kemahiran dan kebajikan sosial. RMK13 juga mengiktiraf peranan penting institusi kekeluargaan dan sektor ketiga seperti NGO serta koperasi dalam menjayakan pembangunan negara secara menyeluruh.
Seiring dengan proses perancangan ini, kerajaan sedang menjalankan sesi libat urus di seluruh negara bagi memastikan suara rakyat diambil kira dan dijadikan asas dalam pembentukan dasar. RMK13 dijangka dibentangkan secara rasmi di Parlimen pada tahun 2026, dan bakal menjadi pelan pembangunan paling inklusif serta menyeluruh menjelang 2030.











