Belanjawan 2026 Dijangka Fokus kepada Ekonomi Domestik, Iklim dan Kebajikan Rakyat

Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa jam lagi dijangka terus menumpukan kepada pengukuhan ekonomi domestik, pengurusan risiko perubahan iklim, bantuan bersasar kepada rakyat serta peningkatan infrastruktur asas negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, meskipun isu kemanusiaan global seperti krisis di Gaza mendapat perhatian ramai, kerajaan dijangka kekal memberi keutamaan kepada agenda tempatan.

“Kalau bercakap tentang krisis kemanusiaan seperti genosida di Gaza, saya tidak rasa ia akan mengambil sumber besar. Tetapi isu bencana alam dan risiko perubahan iklim akan terus menjadi teras dalam Belanjawan 2026,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Beliau menjangkakan kerajaan akan terus memperuntukkan dana untuk projek mitigasi banjir, memandangkan perubahan cuaca kini semakin tidak menentu dan meningkatkan risiko banjir kilat.

“Perubahan iklim yang ketara menuntut kerajaan menyiapkan projek-projek bagi membanteras risiko banjir kilat. Ia akan kekal sebagai antara agenda utama dalam Belanjawan 2026,” jelasnya.

Selain itu, Dr Afzanizam meramalkan dasar pengurangan karbon dan galakan tenaga boleh diperbaharui seperti solar akan terus diperkasa. Kerajaan dijangka memperkenalkan semula atau memperluas insentif cukai bagi kenderaan elektrik (EV) serta tenaga hijau bagi mengurangkan jejak karbon rakyat dan syarikat tempatan.

Mengenai potensi “elemen wow” dalam Belanjawan 2026, beliau menjangka tumpuan utama kerajaan akan terarah kepada peningkatan bantuan tunai dan kebajikan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.

Beliau menambah, peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah meningkat daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion pada 2025, dan tidak mustahil jumlah itu akan terus meningkat tahun depan.

Menurutnya, langkah konsolidasi fiskal seperti peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi akan membantu meningkatkan hasil kerajaan, sekali gus memberi ruang bagi menambah bantuan kepada golongan layak.

“Saya rasa kejutan dalam bajet kali ini mungkin datang daripada jumlah bantuan rakyat yang lebih besar berbanding tahun ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif MySARA, beliau percaya program itu akan diteruskan dengan pendekatan lebih bersasar berdasarkan kategori pendapatan.

“Fokus akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya sambil memuji keberkesanan penggunaan MyKad dalam penyaluran bantuan seperti SARA dan Budi Madani RON95 (BUDI95).

Beliau menjelaskan, pendekatan digital itu membolehkan kerajaan menjejak penggunaan bantuan dan menambah baik penyasaran subsidi secara berperingkat.

Dr Afzanizam turut menegaskan bahawa selain bantuan tunai, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada peningkatan infrastruktur asas seperti jalan raya, sekolah dan hospital.

“Kita lihat banyak kemalangan jalan raya, seperti yang menimpa pelajar UPSI baru-baru ini. Keadaan jalan yang rosak atau tidak diselenggara boleh membawa risiko besar,” katanya.

Beliau menambah, Kementerian Pengangkutan wajar menerima peruntukan tambahan bagi memastikan penyelenggaraan jalan raya dilakukan secara berterusan.

“Penyelenggaraan infrastruktur ini ibarat maraton – ia perlu dibuat berterusan. Jika tidak, rakyat akan menanggung kesusahan dan ekonomi akan rugi dalam jangka panjang,” ujarnya.

Dr Afzanizam turut menjangka jumlah keseluruhan Belanjawan 2026 akan meningkat berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan ekonomi positif.

“Ekonomi Malaysia masih berkembang pada kadar 4.4 peratus tahun ini dengan kadar pengangguran rendah sekitar 3 peratus. Ini menunjukkan ekonomi berada pada tahap guna tenaga penuh,” jelasnya.

Katanya, kedudukan fiskal kerajaan yang lebih kukuh hasil pelaksanaan dasar konsolidasi membolehkan kerajaan menambah peruntukan bukan sahaja untuk bantuan rakyat, tetapi juga bagi pembangunan prasarana negara.

“Dengan hasil yang meningkat, ruang kerajaan untuk memperluas bantuan dan memperkukuh ekonomi rakyat semakin besar,” tambah beliau.