PRIME Alat Komunikasi Negara Ketika Bencana

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan sistem PRIME atau Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak sebagai inisiatif baharu untuk memastikan rangkaian komunikasi negara kekal berfungsi ketika bencana atau kecemasan.

MCMC dalam kenyataan berkata, PRIME dibangunkan khusus untuk menyediakan kemudahan komunikasi moden di kawasan yang tidak mempunyai liputan infrastruktur sedia ada, sekali gus membolehkan agensi penyelamat, pasukan penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan menyelaras operasi dengan lebih pantas dan berkesan.

“PRIME memastikan komunikasi tidak terputus walaupun ketika bencana besar. Dengan teknologi ini, setiap misi boleh diselaras dengan lebih cekap,” menurut kenyataan di portal rasmi MCMC.

Teknologi yang diguna pakai dalam PRIME meliputi komunikasi satelit, rangkaian selular mudah alih, radio dua hala, Wi-Fi hotspot serta penggunaan dron bagi memperluas liputan di kawasan kritikal.

Selain kegunaan semasa bencana, PRIME juga berpotensi dimanfaatkan untuk program literasi digital di luar bandar, menyokong operasi pusat komuniti digital NADI, serta memperkukuh keperluan komunikasi semasa acara berskala besar.

Sistem ini turut berperanan sebagai saluran maklumat sahih kepada masyarakat, membantu proses agihan bantuan kemanusiaan, serta menyediakan rangkaian sementara di lokasi terjejas.

Pelancaran PRIME, menurut MCMC, selaras dengan usaha berterusan kerajaan memperkukuh infrastruktur digital negara, susulan beberapa insiden bencana besar sebelum ini yang mendedahkan cabaran liputan komunikasi di kawasan pedalaman dan terpencil.