PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, menegaskan bahawa perbezaan ideologi politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempermainkan lafaz Takbir Raya, yang merupakan amalan suci dalam Islam.
Dr Zulkifli merujuk kepada beberapa video tular yang memaparkan rakaman suara Takbir Raya Aidilfitri yang dilafazkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun telah disunting secara sengaja dengan memperlahankan audio sehingga menjadi bahan jenaka di media sosial.
More interested news..
“Tidak semua perkara perlu dibangkang, dan tidak semua isu sesuai dijadikan bahan sindiran atau gurauan sinikal. Takbir Raya merupakan simbol keinsafan dan pengagungan kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan.
“Amalan melaungkan takbir seharusnya dihargai dari segi penghayatan dan makna rohaninya, bukan berdasarkan kemerduan atau kelunakan suara individu yang melafazkannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau turut mengingatkan agar semua pihak mengkritik secara berhemah dan berasaskan fakta.
“Berbeza pandangan bukan kesalahan, namun jangan sampai bertukar menjadi hinaan, pengaiban atau fitnah terutamanya apabila melibatkan kesucian nama Allah SWT dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
“Jika ada perkara yang tidak dipersetujui, bicaralah dengan hujah yang benar dan kajian yang teliti,” tambahnya.
Dr Zulkifli mengakhiri kenyataannya dengan menyeru rakyat Malaysia agar lebih bertaqwa dan bertanggungjawab terhadap kandungan yang dikongsi di media sosial.
“Allah tidak melihat sejauh mana lucu atau tular sesuatu kandungan, tetapi yang menjadi ukuran adalah iman dan taqwa kita, itulah amal yang akan dihitung di akhirat kelak,” ujarnya.











