
PUTRAJAYA, 23 Julai 2025 — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan lima inisiatif utama bagi meredakan tekanan kos sara hidup rakyat, meliputi bantuan tunai bersasar, penurunan harga petrol RON95, cuti umum tambahan, peluasan program jualan murah serta penangguhan kenaikan tol.
RM100 Tunai untuk Semua Dewasa Malaysia
Buat pertama kalinya dalam sejarah negara, semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima bantuan tunai RM100 secara one-off menerusi kad pengenalan (MyKad), di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Inisiatif ini akan dilaksanakan bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan untuk pembelian barangan asas di lebih 4,100 lokasi runcit termasuk Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99Speedmart.
More interested news..
Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada 22 juta penerima dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM2 bilion.
“Ini merupakan bantuan tunai pertama seumpamanya yang diberikan kepada semua rakyat dewasa tanpa mengira latar belakang,” kata Anwar.
15 September Diisytihar Cuti Umum Tambahan
Sebagai sebahagian usaha menyemarakkan semangat kebersamaan sempena sambutan Hari Malaysia, kerajaan mengisytiharkan 15 September 2025 (Isnin) sebagai cuti umum tambahan. Perdana Menteri berkata, cuti ini bertujuan menggalakkan waktu berkualiti bersama keluarga dan memperkasa sektor pelancongan domestik.
Program Jualan Rahmah Diperluas
Kerajaan turut menggandakan peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI daripada RM300 juta kepada RM600 juta. Usaha ini bagi memperluaskan capaian dan meningkatkan kekerapan jualan murah di seluruh negara, merangkumi semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jenis barangan yang dijual juga akan ditambah baik agar rakyat mempunyai lebih banyak pilihan,” tambah Perdana Menteri.
Penangguhan Kenaikan Tol untuk 10 Lebuh Raya
Dalam satu lagi langkah proaktif, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya utama yang sepatutnya berkuat kuasa tahun ini. Antara yang terlibat termasuk MEX, LPT2, SKVE, SDE dan LLB.
Penangguhan ini dijangka melibatkan implikasi kewangan melebihi RM500 juta, yang akan ditanggung kerajaan demi kebajikan pengguna jalan raya.
Harga RON95 Turun kepada RM1.99 Seliter
Kerajaan turut mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter mulai penghujung September, seiring pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api. Penurunan ini hanya terpakai kepada warganegara, manakala bukan warganegara akan membayar harga pasaran.
Anwar menegaskan, penstrukturan semula ini bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi yang mencecah hampir RM20 bilion setahun.
“Kita tidak mahu subsidi dinikmati oleh yang tidak layak. Ini soal keadilan dan tanggungjawab fiskal,” tegas beliau.
Menuju Belanjawan 2026
Kelima-lima langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka pendek Kerajaan MADANI dalam menangani beban sara hidup sambil mengekalkan kestabilan kewangan negara menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober akan datang.