
KUALA LUMPUR – Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat menandakan langkah bersejarah kerajaan dalam menyediakan perlindungan undang-undang kepada lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara.
RUU tersebut dirangka bagi mengiktiraf peranan dan melindungi kebajikan golongan berkenaan yang sekian lama beroperasi tanpa jaminan pekerjaan formal atau kerangka perundangan yang jelas. Ia juga dilihat sebagai usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital serantau.
More interested news..
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja gig diberi perhatian sewajarnya.
“Segala isu dan kebajikan berkaitan pekerja gig akan ditangani segera menerusi penggubalan Akta Pekerja Gig,” katanya di Parlimen.
Beliau menjelaskan pengiktirafan tersebut selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar pekerjaan, selain mengangkat pekerja gig sebagai aset penting kepada ekonomi negara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, yang membentangkan RUU tersebut berkata undang-undang itu merupakan akta perintis yang bakal memberi rujukan kepada rantau ini.
“Ini adalah undang-undang pertama yang akan melindungi kebajikan pekerja gig. Rang undang-undang ini bukan digubal sewenang-wenangnya, tetapi hasil daripada libat urus menyeluruh bersama hampir 4,000 pihak berkepentingan,” jelasnya.
Menurut beliau, sesi libat urus tersebut melibatkan pekerja gig, syarikat penyedia platform, pakar ekonomi dan kesatuan sekerja bagi memastikan undang-undang itu inklusif serta mampu menangani isu sebenar termasuk pampasan, perlindungan sosial dan mekanisme penyelesaian pertikaian.
Langkah kerajaan ini disambut baik oleh pihak berkepentingan. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam satu kenyataan menyifatkan RUU tersebut sebagai “langkah bersejarah” kerana akan memastikan pekerja gig dilayan secara adil, termasuk melalui penubuhan tribunal khas dan hak perwakilan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) turut menyokong inisiatif berkenaan. Badan itu menegaskan pekerja gig selama ini beroperasi dalam zon kelabu undang-undang buruh, dan RUU tersebut akhirnya meletakkan mereka pada kedudukan setara dengan pekerja sektor formal dari segi perlindungan undang-undang.
Pandangan positif turut dizahirkan oleh pakar ekonomi. Dr Geoffrey Williams berkata kadar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak 1.25 peratus daripada pendapatan adalah wajar serta tidak membebankan mana-mana pihak.
“RUU ini memberi kepastian undang-undang dan perlindungan sosial, tanpa menambah beban besar kepada pekerja atau pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Dr Nungsari Ahmad Radhi menegaskan undang-undang baharu ini perlu dilaksanakan segera kerana sektor pekerjaan gig sememangnya berisiko tinggi.
“Risiko kemalangan dan kecederaan dalam pekerjaan gig adalah realiti yang tidak boleh diketepikan. Undang-undang ini memberi perlindungan yang wajar dan perlu,” katanya.
Jika diluluskan, RUU Pekerja Gig 2025 akan meletakkan Malaysia sebagai antara negara terawal di Asia Tenggara yang mempunyai kerangka undang-undang komprehensif untuk ekonomi gig. Pelaksanaannya dijangka bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, tetapi turut memperkukuh kedudukan pekerja gig sebagai sebahagian daripada struktur ekonomi rasmi negara.











