
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Malaysia melangkah setapak lagi dalam pelaksanaan prinsip demokrasi apabila Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 diumumkan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Akta ini membuka laluan kepada pentadbiran Parlimen yang bebas dan tidak lagi tertakluk kepada Jabatan Perdana Menteri. Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan bahawa tarikh pelaksanaan rasmi akta ini akan diumumkan dalam masa terdekat. “Ini bukan sekadar akta. Ia simbol kesungguhan Kerajaan Perpaduan untuk memperkukuh institusi negara,” katanya kepada media.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dalam satu sidang media, menyifatkan sokongan rentas parti terhadap akta ini sebagai pencapaian demokrasi. “Akta ini memperkukuh prinsip pemisahan kuasa dan menandakan kematangan sistem demokrasi kita,” katanya. Akta tersebut memperkenalkan struktur pentadbiran bebas dalam institusi Parlimen, termasuk pengurusan belanjawan, pelantikan kakitangan dan penyediaan perkhidmatan undang-undang serta penyelidikan kepada Ahli Parlimen.
More interested news..
Langkah ini adalah sebahagian daripada pelan reformasi institusi yang lebih luas di bawah Malaysia MADANI, dan menandakan pendekatan baharu dalam pengurusan institusi negara – lebih bebas, berdaya tahan dan berakauntabiliti. Dalam jangka panjang, pelaksanaan akta ini dijangka meningkatkan keberkesanan sistem legislatif dan memperkukuh semak dan imbang terhadap pelaksanaan dasar kerajaan serta pengurusan fiskal negara.











