
PUTRAJAYA, 15 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengeluarkan amaran tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mencabar keluhuran Perlembagaan dan mengganggu kestabilan kerajaan secara tidak demokratik.
Dalam amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Anwar menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk tindakan provokatif, termasuk usaha menukar kerajaan melalui jalan pintas tanpa mandat rakyat.
More interested news..
“Jika benar ada sokongan majoriti, kemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen. Saya tunggu. Tetapi jangan langgar prinsip demokrasi dan Perlembagaan,” katanya.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai respons terhadap penganjuran ‘Perhimpunan Turun Anwar’ yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini, serta dakwaan kononnya berlaku tekanan untuk menggulingkan kerajaan melalui saluran tidak rasmi.
Anwar turut mengecam tindakan sesetengah pihak yang, menurutnya, cuba menanam ketakutan dan mencetuskan ketegangan politik demi kepentingan peribadi.
“Mereka sedar tidak cukup sokongan, maka dipilih jalan luar sistem. Ini perbuatan tidak bertanggungjawab yang mencabar asas demokrasi berparlimen,” tegas beliau.
Perdana Menteri menegaskan beliau terbuka terhadap kritikan dan pertandingan politik, tetapi menolak sekeras-kerasnya taktik yang menyemai kekacauan dan propaganda yang memburukkan imej negara di mata dunia.
“Saya bukan takut ditentang. Jika rakyat mahukan perubahan, tunggulah pilihan raya umum. Tetapi mewujudkan naratif kononnya negara tidak selamat hanya menjejaskan reputasi kita,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan tidak akan berdiam diri jika terdapat unsur yang sengaja mencetuskan kekacauan. Pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara.
“Selagi kami memegang mandat dua pertiga di Parlimen, saya akan terus memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab. Malaysia bukan medan percubaan politik yang tidak bermaruah,” katanya.
Polis Diraja Malaysia sebelum ini mengesahkan bahawa himpunan tersebut dijangka melibatkan sehingga 15,000 peserta, dengan penugasan kira-kira 2,000 anggota keselamatan bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara.
Anwar turut merujuk retorik politik baru-baru ini termasuk di pentas ceramah di Kedah, sebagai cubaan menghasut rakyat dengan persepsi yang tidak berasas.
“Ini bukan soal membenci saya sebagai individu. Ini soal mempertahankan maruah sistem dan kestabilan negara. Jangan heret rakyat ke dalam krisis yang akan kita kesali bersama,” tegas beliau.