
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan pengukuhan sektor komunikasi dan multimedia sebagai antara teras utama pembangunan negara.
Dalam kenyataan pada Sabtu, MCMC menegaskan komitmen penuh untuk melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang diumumkan kerajaan, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi secara inklusif dan seimbang di seluruh negara.
More interested news..
“Di bawah Belanjawan 2026, MCMC komited memperkukuh ekosistem komunikasi dan multimedia negara serta memastikan manfaat teknologi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Antara inisiatif utama yang bakal digerakkan termasuk pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer dari Johor ke Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM2 bilion, yang bertujuan meningkatkan kesalinghubungan serta kestabilan dan kelajuan capaian internet di seluruh Malaysia.
Selain itu, projek Liputan Jendela Fasa 2 turut menerima suntikan RM780 juta bagi memperluas liputan jalur lebar ke 2,700 lokasi baharu, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman agar tiada rakyat tercicir dalam arus pendigitalan negara.
Dalam sektor kesihatan, kerajaan memperuntukkan RM650 juta untuk memperkukuh ketersambungan Internet di fasiliti kesihatan awam termasuk hospital dan klinik, bagi mempertingkat kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Belanjawan 2026 juga memperuntukkan RM350 juta untuk menaik taraf Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), melibatkan 1,099 pusat komuniti yang akan dijadikan hab latihan digital dan keusahawanan bagi memperkasakan masyarakat tempatan.
Sementara itu, sistem Amaran Awal Bencana (EWS) bernilai RM210 juta akan dibangunkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap risiko bencana dan melindungi keselamatan rakyat.
Dalam usaha memperkukuh kedaulatan data negara, MCMC akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan RM2 bilion, merangkumi penubuhan AI Transformation Centre bersama Universiti Multimedia (MMU) serta Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).
MCMC juga menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G, yang disasarkan mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026, bagi menyediakan perkhidmatan internet lebih pantas, stabil dan mampu milik kepada rakyat serta sektor perniagaan.
Dalam aspek keselamatan siber, MCMC akan memperluas Kempen Internet Selamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan internet secara beretika dan selamat di semua peringkat umur.
“Secara keseluruhan, inisiatif di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen MCMC untuk memperkukuh kesalinghubungan digital, meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi serta memastikan manfaat pembangunan teknologi dinikmati secara saksama di seluruh negara,” jelas kenyataan itu.











