
KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2025 – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump disahkan bakal menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengumuman itu dibuat Anwar di Dewan Rakyat hari ini, selepas beliau menerima panggilan telefon rasmi daripada Presiden Trump pada awal pagi.
More interested news..
“Pagi tadi, sekitar jam 6.50 pagi, saya terima panggilan daripada Presiden Trump. Beliau memulakan dengan ucapan penghargaan kepada Malaysia atas peranan penting dalam menyelesaikan pertikaian antara Thailand dan Kemboja,” kata Anwar.
Tambahnya, kejayaan tersebut adalah hasil daripada semangat kesepakatan antara negara-negara ASEAN serta kerjasama membina daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.
“Saya nyatakan bahawa pencapaian ini wujud hasil perpaduan dalam ASEAN, sikap positif kedua-dua negara terlibat, dan juga komitmen daripada AS khususnya Presiden Trump, serta Presiden Xi Jinping dari China,” jelas beliau.
Perbualan antara kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu perdagangan antarabangsa, termasuk dasar tarif dan sokongan terhadap perdagangan bebas.
Anwar memaklumkan bahawa perbincangan sedang berlangsung antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan wakil perdagangan AS serta Setiausaha Perdagangan negara itu.
“Perkara ini membawa kepada satu perkembangan positif apabila Presiden Trump bersetuju untuk menangguhkan pengumuman kadar tarif kepada esok hari,” katanya.
Beliau berharap keputusan tersebut dapat membawa manfaat kepada ekonomi Malaysia dan tidak menambah beban sedia ada.











