Lapan Tapak Niaga Rosak Dilanda Ribut, Bantuan Awal PM Disalurkan

KUANTAN — Lapan buah tapak niaga di Kampung Padang, Kuantan mengalami kerosakan teruk akibat ribut yang melanda kawasan tersebut pada Khamis lalu, sekali gus menjejaskan peniaga di situ dan menyebabkan kerugian.

Susulan kejadian, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi bersama pasukannya turun padang bagi meninjau keadaan tapak niaga yang rosak serta mendengar keluhan para peniaga.

“Usai menerima laporan, saya bersama pasukan telah ke sana bagi melihat sendiri kerosakan yang berlaku serta mendengar sendiri keluhan para peniaga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Ahmad Farhan, sejumlah bantuan awal telah berjaya disalurkan dengan sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Alhamdulillah, dengan dukungan Perdana Menteri, sejumlah bantuan awal segera dapat disalurkan yang diharapkan meringankan sedikit beban kerugian yang dialami,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya komited untuk membantu para peniaga bangkit semula selepas musibah tersebut.

“Insya-Allah, usaha ini menjadi permulaan agar lapan peniaga di Kampung Padang dapat bangkit kembali dan memulakan semula perniagaan,” ujarnya.