MCMC Siasat Video Pempengaruh Didakwa Hina Gelandangan

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap sekumpulan individu dipercayai pempengaruh media sosial yang didakwa menghina seorang gelandangan menerusi rakaman video tular baru-baru ini.

Video berdurasi pendek itu memaparkan aksi tiga pemuda memberi nasi bersama sisa tulang ayam kepada seorang gelandangan, yang kemudiannya mengundang kecaman hebat netizen kerana dianggap tidak berperikemanusiaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC menegaskan pihaknya memandang serius penyebaran kandungan berunsur eksploitasi terhadap golongan terpinggir semata-mata untuk meraih tontonan dan perhatian di media sosial.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, malah merendahkan maruah insan lain serta boleh menormalisasikan budaya menghina dalam masyarakat,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

“Kami menyeru semua pengguna media sosial agar bertanggungjawab dan tidak memuat naik, menyebar atau terlibat dengan kandungan yang bersifat jelik, provokatif atau menghina mana-mana pihak,” kata MCMC.

Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa platform digital bukan lesen untuk melakukan penghinaan atau memperlekeh individu, terutama mereka yang berada dalam keadaan serba kekurangan.

Insiden itu turut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat sivil yang menuntut agar tindakan lebih tegas dikenakan terhadap pencipta kandungan yang menyalah guna pengaruh mereka.

MCMC berkata pihaknya komited untuk memastikan ekosistem digital negara kekal sihat, beretika dan tidak disalah guna untuk tujuan menghina, membuli atau mengeksploitasi mana-mana kumpulan.

“Sebarang penyalahgunaan platform digital boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat secara keseluruhan,” tegasnya.