
PUTRAJAYA: Sebanyak 48 kertas siasatan dibuka ke atas 48 premis yang diperiksa menerusi Ops Campur yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Selasa bagi membanteras isu beras campur.
Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Azman Adam berkata, pelaksanaan operasi itu membawa kepada rampasan 300 kampit sampel beras, hasil daripada pemeriksaan di 213 premis pengilang dan pembungkus seluruh negara.
More interested news..
“Pelaksanaan Ops Campur ini bukan sahaja fokus kepada percampuran kandungan beras, tetapi juga kita melihat sama ada peratusan hancur beras yang didaftarkan kerana peratusan hancur ini akan mempengaruhi harga. Jadi kita akan melihat perkara tersebut.
“Sampel yang kita ambil, kita akan menghantar sebahagiannya kepada Jabatan Kimia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” beliau berkata demikian dalam sidang media Pelaksanaan Penguatkuasaan Op Campur di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 pada Rabu.
Mengulas lanjut, kata beliau, nilai rampasan beras adalah RM15,321.40 dan kesemuanya dihantar ke Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya 2,000 premis pembungkus dan pengilang akan diperiksa bagi membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam agenda menambah baik industri padi dan beras negara.
26 Februari lalu, Pegawai Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI dalam laporan media mendedahkan sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT) melalui kajian DNA yang dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024.











