Kerajaan perlu tiru Maldives haramkan vape – Pakar

Oleh: Prof. Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin

VAPE atau rokok elektronik telah menjadi fenomena global yang semakin mendapat tempat

dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda. Namun, di sebalik popularitinya,

vape membawa kesan buruk yang sangat besar, bukan sahaja kepada individu yang

menggunakannya tetapi juga kepada keluarga, masyarakat, dan alam sekitar.

Kajian-kajian saintifik telah menunjukkan bahawa vape bukanlah alternatif yang selamat

kepada rokok tembakau, malah ia membawa pelbagai risiko kesihatan yang serius.

Pada 21 Disember 2015, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi

Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik

dan vape adalah haram. 

Di dalam Al-Quran telah disebut dalam Surah Al-Qasas (28:77):

“Dan janganlah engkau berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai

orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Maka, tidak sepatutnya timbul lagi perdebatan berkenaan tidak mahu mengharamkan vape

di Malaysia, terutamanya oleh mereka yang beragama Islam.

Salah faham bahan kimia vape

Terdapat salah faham umum bahawa cecair vape yang tidak dicampur bahan terlarang

seperti dadah adalah selamat. Namun, berdasarkan kajian oleh Universiti Johns Hopkins

pada tahun 2021, cecair vape mengandungi hampir 2000 bahan kimia berbahaya. Antara

bahan kimia tersebut termasuklah:

1) Nikotin – Penyebab Ketagihan dan Masalah Kesihatan

Nikotin adalah bahan utama dalam vape yang menyebabkan ketagihan. Malangnya, pada 1

April 2023, nikotin telah dikeluarkan daripada Akta Racun Kelas C, yang membawa kepada

peningkatan penggunaan vape dalam kalangan masyarakat, termasuk kanak-kanak dan

remaja. Antara kesan buruk nikotin adalah:

• Meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah, yang boleh membawa

kepada strok, serangan jantung, dan kegagalan jantung.

• Meningkatkan risiko pelbagai jenis kanser seperti kanser pankreas, paru-paru,

payudara, mulut, esofagus, serviks, dan pundi kencing.

• Menjejaskan sistem peranakan lelaki dan wanita, mengakibatkan sperma tidak

normal, seterusnya kemandulan, kelahiran pramatang, dan kecacatan bayi.

2) Bahan logam berat memberi ancaman kesihatan serius

Cecair vape mengandungi pelbagai logam berat yang berbahaya, antaranya ialah nikel,

kromium, dan arsenik yang merupakan bahan karsinogen dan boleh menyebabkan kanser.

Selain itu, ia juga mengandungi kobalt yang bersifat toksik kepada paru-paru serta kadmium

yang boleh merosakkan buah pinggang dan turut menjadi punca kanser. Lebih membimbangkan, logam berat ini juga dikaitkan dengan masalah kesihatan mental,

termasuk kemurungan.

3) Pewarna dan Perisa Tiruan – Ancaman kepada Sistem Pernafasan

Lebih 200 jenis pewarna dan perisa tiruan telah dikesan dalam pelbagai jenis e-jus vape.

Pewarna dan perisa ini direka untuk dimakan dan melalui sistem penghadaman, bukan

untuk disedut ke dalam paru-paru. Apabila disedut, ia boleh merosakkan sel-sel pernafasan,

menyebabkan kesukaran bernafas serta mengganggu pertukaran oksigen antara paru-paru

dan sel darah merah, membawa kepada masalah pernafasan kronik.

4) Formaldehid dan Asetaldehid – Punca Kanser

Bahan-bahan ini bertindak balas dengan logam pemanas dalam peranti vape dan

menghasilkan karsinogen yang boleh menyebabkan kanser setelah bertahun-tahun

penggunaan vape.

Mengapa vape wajib diharamkan

Penggunaan vape bukan sahaja memudaratkan kesihatan penggunanya, tetapi juga

memberi kesan buruk kepada ahli keluarga yang terdedah kepada asapnya. Lebih

membimbangkan, vape tidak berkesan dalam membantu perokok berhenti merokok, malah

kebanyakan pengguna akhirnya menjadi perokok berganda dengan menghisap vape dan

rokok tembakau secara serentak. Menyedari kesan buruk ini, negara jiran seperti Thailand,

Singapura, India dan Brunei telah pun mengambil langkah mengharamkan penggunaan,

penjualan serta pengedaran vape, kerana mudaratnya jauh lebih besar berbanding

sebarang manfaat yang didakwa.

Hakikatnya, terdapat pelbagai kaedah perubatan dan rawatan sokongan yang terbukti

berkesan dalam membantu individu berhenti merokok tanpa perlu bergantung kepada vape.

Malah, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh sebuah NGO pada tahun 2023, majoriti

rakyat Malaysia turut menyokong pengharaman vape kerana mereka sedar akan kesan

buruknya terhadap kesihatan dan masyarakat.

Jika vape tidak diharamkan, kesan sosial yang lebih buruk akan berlaku, termasuk

peningkatan masalah disiplin di sekolah, peningkatan jenayah seperti mencuri dan

merompak untuk membeli vape, serta kemerosotan ekonomi akibat perbelanjaan kesihatan

yang tinggi untuk merawat penyakit berkaitan vape.

Kesimpulan

Vape memberi impak negatif yang besar kepada kesihatan individu, ekonomi negara, serta

alam sekitar. Kesan buruknya jauh lebih banyak berbanding manfaatnya, yang hanya

menguntungkan pihak industri vape. 

Oleh itu, Malaysia harus mencontohi langkah kerajaan Maldives yang telah mengharamkan vape pada 15 Januari 2025. Demi kesihatan rakyat dan masa depan negara, langkah drastik perlu diambil untuk memastikan vape tidak terus

merosakkan generasi akan datang.

**** Penulis adalah Pakar Perunding Perubatan Keluarga di Fakuti Perubatan, Universiti Malaya