PRK Kuala Kubu Baharu ditetapkan 11 Mei 2024 – SPR

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada 11 Mei manakala hari penamaan calon pula dijadualkan pada 27 April.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, undi awal pula akan diadakan pada 7 Mei.

Ini bermakna tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.

Tarikh-tarikh itu diumumkan selepas mesyuarat di ibu pejabat SPR di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom dan Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak.

Mesyuarat khas itu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berhubung kekosongan luar jangka kerusi itu.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.

Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu bawah parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun.

Beliau pertama kali memenangi kerusinya pada 2013 selepas menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi, dan mempertahankannya pada 2018 dengan majoriti 7,134 undi mengatasi Wong Koon Mun dari MCA.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Lee menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Gerakan Henry Teoh dengan majoriti 4,119 undi.