
KUALA LUMPUR, – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap sedia mengawal keselamatan dan kelancaran lalu lintas sempena perhimpunan “Malaysia Bangkit Untuk Gaza” yang dijadual berlangsung esok di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah menerima pemakluman awal daripada penganjur iaitu Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) dan Persatuan Ulama Malaysia.
More interested news..
- Agong kurnia sumbangan peribadi 25,000 kampit beras kepada asnaf sepanjang Ramadan
- Lawatan Anwar ke Moscow Isyarat Malaysia Kukuhkan Hubungan Ekonomi Luar Pasaran Tradisi
- Bayaran STR Fasa 3 Bermula 12 Ogos, RM2 Bilion Disalur Kepada 8.6 Juta Penerima
- Dr Izhar: Takbir Raya Tanda Keinsafan, Bukan Kilang Dosa Di Dunia
Menurut beliau, perhimpunan yang dijangka menghimpunkan lebih 5,000 peserta itu akan melibatkan pelbagai pihak termasuk gabungan badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan masyarakat awam.
“Peserta akan berkumpul di tiga lokasi utama – Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Kompleks Sogo – sebelum bergerak ke Dataran Merdeka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sulizmie berkata, pihaknya menjangkakan kesesakan lalu lintas menuju pusat bandar berikutan jumlah peserta yang ramai. Justeru, kawalan dan pemantauan trafik akan dilaksanakan bagi memastikan pergerakan orang ramai berjalan lancar.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar mematuhi peraturan dan undang-undang, selaras dengan hak berhimpun secara aman di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Peserta dilarang membawa senjata tajam, mercun, bahan letupan, kanak-kanak, serta sepanduk berunsur 3R (kaum, agama, institusi diraja). Mereka juga dilarang mengeluarkan ucapan berunsur fitnah atau melakukan provokasi,” tegasnya.
Selain itu, aktiviti penerbangan dron tidak dibenarkan kerana berpotensi mengundang bahaya kepada orang awam dan harta benda.
Sulizmie menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau sepanjang perhimpunan berlangsung.











