MEUFTA beri potensi ekonomi baharu, tiada kerugian buat negara – Pakar

PETALING JAYA: Keputusan penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) memberi potensi ekonomi baharu kepada negara ini.

Menyifatkan langkah itu sebagai positif, pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai menjangkakan tiada sebarang kerugian kepada negara untuk memulihkan hubungan perdagangan dengan Eropah.

Beliau berkata, Eropah sebelum ini tidak menjadi keutamaan dalam perdagangan Malaysia berikutan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pentadbirannya mengamalkan konsep Dasar Pandang ke Timur yang menjadikan negara Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh. 

“Ketika itu, kita abaikan pasaran ke Eropah menyebabkan mereka tidak menyukai Malaysia.

“Apabila kita buat keputusan untuk menghidupkan kembali hubungan dagang dengan Eropah, ia memberi potensi baharu pasaran kepada Malaysia. 

“Ini kerana negara Eropah hari ini dilihat berbeza manakala Malaysia juga melihatnya sebagai potensi permintaan baharu, pasaran baharu, pelaburan baharu yang datang daripada kumpulan negara Eropah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jangkaan nilai pelaburan, Barjoyai tidak menolak kemungkinan bahawa ia akan meningkat tinggi pada awalnya manakala potensinya adalah besar.

Katanya, meskipun Eropah dilihat membangun dan melonjak dari segi permintaan ekonomi, namun negara tersebut memiliki pasaran besar kerana unjuran penduduknya adalah dari kelas pertengahan tinggi. 

“Oleh itu, kita boleh mengharapkan jumlah potensi perdagangan besar dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya. 

Terdahulu, penyambungan semula rundingam MEUFTA itu diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula Von Der Leyen sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Brussels, Belgium.