Malaysia Tunjangi Sidang Kemuncak Digital ASEAN: Kepercayaan, Inovasi dan Kerjasama Jadi Fokus

Malaysia melakar sejarah apabila menjadi tuan rumah Digital Nation Summit Kuala Lumpur (Edisi ASEAN) yang pertama kali dianjurkan bersama GSMA, bersempena peranan negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Sidang kemuncak yang berlangsung di The Westin Kuala Lumpur itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, pemain industri serta rakan serantau bagi membincangkan masa depan ekosistem digital ASEAN.

Dalam ucaptamanya, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menekankan tiga teras utama yang akan memacu agenda digital rantau ini iaitu kepercayaan, inovasi dan kerjasama serantau.

Beliau berkata, kepercayaan digital perlu dibina atas asas tadbir urus data, keselamatan siber dan kerangka perundangan progresif termasuk penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025. Malaysia juga komited melalui program advokasi literasi digital yang telah memberi manfaat kepada lebih 150,000 rakyat.

Menurut Teo, teras kedua iaitu inovasi menjadi pemacu utama ekonomi digital ASEAN yang kini bernilai RM1.26 trilion dan dijangka melebihi RM4.20 trilion menjelang 2030.

Di Malaysia, inisiatif seperti Geran Digital PMKS Madani, pelaksanaan JENDELA serta peluasan rangkaian 5G telah memperkasa perniagaan kecil dan sederhana. Liputan 5G negara kini telah mencapai 82.4 peratus kawasan berpenduduk.

Teras ketiga pula memberi penekanan kepada kerjasama serantau yang lebih erat dan inklusif. Malaysia menyatakan sokongan terhadap peluasan siri GSMA M360 ke ASEAN pada 2026, selaras aspirasi Visi ASEAN 2045.

“Sidang kemuncak ini adalah permulaan bab baharu pembinaan negara digital ASEAN yang dipacu kepercayaan, berkembang melalui inovasi dan maju bersama,” kata Teo.