Maklumat lebih dipercayai, media arus perdana jadi rujukan utama

PETALING JAYA: Media arus perdana harus dijadikan rujukan utama berikutan sumber berita dan maklumat yang lebih dipercayai serta berautoriti, kata Ahmad Farami Abdul Karim.

Ketua Pusat Pengajian Media Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, golongan wartawan dari media arus perdana sudah dilatih serta terikat dengan kod etika dan undang-undang. 

Apatah lagi, beliau berkata, mereka menggalas tanggungjawab sosial dan boleh dipertanggungjawabkan sekiranya melanggar sebarang etika pelaporan berita. 

Bukan itu sahaja, katanya, media arus perdana juga memberi kesedaran mengenai impak pelaporan berita terhadap masyarakat, manakala maklumat yang disiarkan sudah pun diteliti dan diselidik terlebih dahulu. 

“Kalau ada maklumat atau berita palsu, menjadi satu kelaziman masyarakat bergantung kepada media arus perdana untuk menyemak dan memperbetul. 

“Apabila berlaku sesuatu kejadian yang dilaporkan oleh media sosial, orang ramai tetap menunggu pengesahan maklumat daripada media arus perdana yang lebih berautoriti.

“Bahan siaran media arus perdana pula tidak tertumpu kepada unsur sensasi dan kontroversi,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilapor berkata, media arus perdana perlu diutamakan untuk dijadikan rujukan kepada setiap peringkat masyarakat berbanding media sosial.

Menurutnya, pengguna media sosial perlu sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan berita yang disampaikan di media sosial.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Farami berkata, media sosial termasuk penjana kandungan pengguna (user generated content) atau wartawan warga (citizen journalism) tidak memiliki pengawal kandungan (gatekeepers). 

Jelasnya, kandungan media seperti itu selalunya dihasilkan oleh wartawan tidak terlatih dalam kalangan orang awam tanpa kecelikan media dan etika.

Tambahnya lagi, wartawan tidak terlatih juga tidak semestinya melakukan pengesahan fakta atau ‘fact checking’ sebelum sebarang maklumat dikongsi. 

Hasil daripada itu, katanya, khalayak ramai akan dihidangkan dengan berita separa benar, berita palsu, atau maklumat tidak lengkap yang mengelirukan.

“Perkara yang tular di media sosial biasanya maklumat sensasi dan kontroversi tanpa konteks pelaporan yang jelas dan menyeluruh. 

“Dalam dunia  pasca kebenaran atau ‘post-truth’, ada kecenderungan untuk khalayak percaya dan dipengaruhi maklumat yang memanipulasi emosi dan bukannya fakta. 

“Sebahagian daripada penyebar maklumat di media sosial ini juga tidak sedar implikasi undang-undang,” ujarnya.