Lesen media sosial kawal kanak-kanak guna aplikasi – NUTP

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memuji langkah proaktif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam melaksanakan pelesenan media sosial yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Dengan pelaksanaan itu, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, kanak-kanak di bawah umur boleh dikawal daripada menggunakan aplikasi yang boleh membawa kemudaratan ketika tiada pantauan orang dewasa.

“Tahniah kepada MCMC kerana mengambil langkah proaktif dan perlu dalam mengawal penyalahgunaan media sosial.

“Penyedia aplikasi akan mengawal penggunanya dengan melakukan pendaftaran sebelum dibenarkan menggunakan aplikasi tersebut.

“Kebiasaannya banyak pihak yang menyalahgunakan media sosial ini dengan membuli dan memulau dalam kelompok mereka.Gangguan tanpa had dalam media sosial ini menyebabkan mangsa yang terlibat sukar untuk melarikan diri atau mengelak,” katanya.

Dalam ada itu, beliau menasihati para pendidik supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial kerana dikhuatiri mengundang perkara buruk pada masa akan datang.

Beliau berkata, ia antara lain dengan tidak memuat naik sebarang gambar murid secara sembarangan tanpa kebenaran penjaga serta berwaspada dalam membuat ulasan dan komen di media sosial. 

“Kandungan media yang melibatkan murid perlu mendapatkan keizinan penjaga kerana mungkin boleh menimbulkan risiko kepada murid itu sendiri.

“Guru juga tidak digalakkan membincangkan isu murid di dalam media sosial kerana mungkin ada penjaga yang kurang selesa isu anak mereka dibicarakan walaupun berkongsi markah ujian dalam media sosial kelas,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mewajibkan platform media sosial dengan lebih daripada lapan juta pengguna di Malaysia untuk memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Ia dikhususkan buat semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet manakala tarikh akhir permohonan lesen telah berlalu iaitu 31 Disember 2024, dengan penguatkuasaan bermula 1 Januari 2025.

Setakat ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan hanya WeChat, TikTok dan Telegram sudah mendapat lesen (untuk beroperasi di Malaysia) manakala META dalam proses dan dijangka akan mendapat lesen tersebut tidak lama lagi.

Menurut MCMC, keputusan itu adalah selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa, dua perkhidmatan itu mesti mematuhi undang-undang Malaysia.

Ia adalah demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Tambah MCMC, langkah terbaharu itu juga bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat dan pengalaman lebih baik untuk pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.