
PUTRAJAYA: Di tengah-tengah ketidaktentuan politik global, lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Moscow atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin menjadi isyarat jelas bahawa Malaysia kekal relevan dan berpengaruh dalam percaturan geopolitik antarabangsa.
Menurut penganalisis politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, undangan sebegini jarang diberikan, apatah lagi ketika hubungan antarabangsa Rusia dengan negara-negara Barat berada pada tahap tegang. “Ia membuktikan Malaysia masih dilihat sebagai rakan yang dipercayai, berprinsip, dan berupaya mengimbangi hubungan dengan pelbagai kuasa besar,” katanya.
More interested news..
Kehadiran Anwar di Kremlin bukan sekadar kunjungan diplomatik, tetapi satu usaha memperluaskan jaringan perdagangan, mempelbagaikan pasaran eksport, dan mengukuhkan kedudukan strategik Malaysia di rantau Asia. Dr. Tawfik menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil daripada dasar luar negara yang pragmatik dan berpandangan jauh, di mana Malaysia tidak membenarkan dirinya terikat dengan blok tertentu.
“Pendekatan ini memperlihatkan kebijaksanaan Malaysia dalam menguruskan hubungan antarabangsa, tidak berpihak secara mutlak kepada mana-mana kuasa, sebaliknya mencari keseimbangan yang memanfaatkan kepentingan ekonomi dan politik,” tambahnya.
Langkah ini, menurut beliau, adalah contoh bagaimana kepimpinan berwawasan dapat memanfaatkan peluang walaupun dalam suasana penuh cabaran.











