
PETALING JAYA: Data yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi menunjukkan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis mencatatkan sifar miskin tegar sehingga 31 Disember 2024.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh Bank Data Kemiskinan Nasional eKasih, usaha Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan tegar menunjukkan kemajuan yang sangat memberangsangkan.
More interested news..
“Ketika ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan bilangan KIR miskin tegar tertinggi dengan 507 keluarga, diikuti Kedah (314), Johor (298), Selangor (168) dan Terengganu (124).
“Sementara itu, bilangan KIR miskin tegar di Kelantan sebanyak 81, Sabah (80), Pulau Pinang (67), Perak (57), Pahang (46), Wilayah Persekutuan Labuan (43) dan Sarawak (lapan),” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di portal Parlimen.
Tambahnya, secara keseluruhan, bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar adalah 1,793 yang direkodkan di seluruh negara.
Dalam pada itu, kerajaan sedang mempergiat usaha untuk membasmi kemiskinan dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif jangka sederhana dan panjang selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.
“Ini termasuk dengan meningkatkan pendapatan golongan sasar, mewujudkan peluang pekerjaan bagi meningkatkan taraf hidup golongan miskin, peningkatan akses kepada sokongan sosial seperti pendidikan dan kesihatan serta perumahan bagi meningkatkan tahap kualiti hidup serta meningkatkan daya tahan dan kesejahteraan isi rumah miskin,” katanya.
Kementerian Ekonomi menjawab persoalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah mengenai statistik terkini kemiskinan tegar mengikut negeri dan pencapaian sasaran menoktahkan miskin tegar sehingga akhir 2024.











