Chatbot Sebenarnya.my panduan generasi muda berkait teknologi komunikasi

PETALING JAYA: Pelancaran Chatbot Sebenarnya.my di platform WhatsApp merupakan langkah positif sebagai panduan khusus kepada generasi muda dan golongan yang semakin bergantung kepada teknologi moden.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kebergantungan ini berkait dengan teknologi komunikasi, kecerdasan buatan (AI) dan media sosial dalam kehidupan harian mereka.

Beliau berkata, langkah itu seiring dengan pembangunan penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat.

“Ia menjadi satu perkara yang amat positif selain mengharapkan dapat membawa beberapa konteks perisian dan cara yang lebih berkesan dengan menggunakan elemen kemajuan teknologi AI dan lain-lain,” katanya.

Jelas beliau, Malaysia menjadi satu inovasi baharu dalam memastikan keharmonian dan kepentingan masyarakat dapat dipelihara, dengan membentuk keseimbangan pembangunan teknologi moden dan rangkaian komunikasi pintar.

Tambahnya, kemajuan dalam teknologi digital juga dapat memastikan unsur jenayah dan penggunaan tata kelola yang salah dalam media sosial dapat dibendung lebih awal.

“Ini bukan sahaja memastikan kemajuan pemikiran yang seimbang tetapi juga membentuk aspirasi nasional yang menitikberatkan kepentingan dan keselamatan negara demi masa depan yang lebih terjamin,” ujarnya.

Pada 28 Januari lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melancarkan Chatbot Sebenarnya.my sebagai inisiatif terkini untuk memastikan rakyat mendapat maklumat sahih.

Chatbot yang dinamakan Artificial Intelligence Fact-Check Assistant (AIFA) itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membanteras penyebaran maklumat palsu serta memupuk literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia.