
PETALING JAYA — Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Shazeli Kahar memaklumkan siasatan kes serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli kini diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurut Shazeli, keputusan itu dibuat bagi memastikan siasatan lebih menyeluruh dan berpusat.
More interested news..
“Kerjasama masyarakat amat dihargai demi memastikan keadilan dan ketelusan dalam proses siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya terus ke balai polis berhampiran,” katanya, dipetik laporan Sinar Harian hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian berlaku pada minggu lalu ketika anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun diserang dua individu bermotosikal di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang di sebuah pusat beli-belah.
Shazeli berkata, insiden itu berlaku ketika keluarga Rafizi mahu memasuki kereta untuk meninggalkan lokasi berkenaan.
Dalam kenyataan pada Rabu, Rafizi menjelaskan anaknya diheret dan disuntik dengan jarum suntikan oleh dua lelaki berpakaian serba hitam serta memakai topi keledar yang menutup keseluruhan muka.
Kes tersebut mendapat perhatian selepas ia menimbulkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan keluarga pemimpin politik tanah air.











