“AS Dijangka Jadi Pihak Paling Rugi Dalam Perang Tarif Trump”

PETALING JAYA: Malaysia mengukuhkan lagi kedudukannya dalam bidang transformasi digital serantau menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) 2025 yang berlangsung di Tokyo, Jepun.

Mesyuarat itu menghimpunkan negara anggota APT untuk merangka hala tuju dasar dan strategi bagi memastikan kemajuan digital yang inklusif dan mampan di rantau Asia Pasifik.

Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, penyertaan Malaysia dalam mesyuarat tersebut adalah bukti komitmen negara terhadap kerjasama serantau dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat.

“Ia bukan sahaja platform untuk memperkukuh kerjasama pelbagai hala, tetapi juga menyokong negara-negara membangun dalam aspek teknikal, pembangunan kapasiti dan kawal selia ICT,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambah beliau, kolaborasi serantau ini penting dalam merealisasikan agenda transformasi digital yang mampu membawa manfaat kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

APT ditubuhkan pada 1979 sebagai organisasi antara kerajaan melalui kerjasama dengan UNESCAP dan ITU. Ia berperanan memacu pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di rantau Asia Pasifik serta memastikan manfaat ekonomi digital dapat dikongsi secara menyeluruh dalam kalangan negara anggota.