Kejayaan Sukan SEA Bukti Semangat Juang Atlet Malaysia – PM

BANGKOK, Dec 20 — Malaysian contingent marching into the Rajamangala National Stadium for the 33rd SEA Games Thailand closing ceremony, tonight.

–fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Kontinjen Malaysia atas pencapaian membanggakan di Sukan SEA Thailand baru-baru ini.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil disiplin tinggi, pengorbanan berterusan serta semangat juang para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang tidak pernah luntur dalam mengharumkan nama negara di persada serantau.

“Masih belum terlewat untuk kita merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Kontinjen Malaysia atas pencapaian membanggakan di Sukan SEA Thailand baru-baru ini. Kejayaan ini adalah hasil disiplin yang tinggi, pengorbanan berterusan serta semangat juang para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang tidak pernah luntur dalam mengharumkan nama negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar menegaskan bahawa pencapaian tersebut wajar dijadikan pemangkin untuk memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan utama lain, agar Malaysia kekal berdaya saing dan disegani di peringkat serantau serta antarabangsa.

“Dalam masa sama, kita akan memastikan persiapan sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa, bukan sekadar dari sudut prasarana dan penganjuran tetapi juga dalam membina ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan bakat berkelas dunia,” tambah beliau.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa sukan bukan sahaja soal kejayaan di arena antarabangsa, tetapi juga berperanan sebagai wadah penyatuan rakyat merentas kaum, wilayah dan latar belakang.

“Lebih daripada itu, sukan adalah wadah penyatuan rakyat yang menyatukan kita merentas kaum, wilayah dan latar belakang dalam satu semangat kebersamaan serta kebanggaan nasional. Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang mesti terus dipelihara dan diperkasa,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru seluruh rakyat untuk terus memberi sokongan padu kepada atlet negara, sekaligus mengukuhkan semangat patriotik dan perpaduan melalui sukan.

Kejayaan Malaysia di Sukan SEA Thailand menegaskan kemampuan negara untuk bersaing di peringkat serantau, sambil menandakan persiapan awal yang kukuh bagi menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

Dengan semangat juang dan disiplin tinggi, Perdana Menteri yakin bahawa atlet Malaysia akan terus mencipta kejayaan membanggakan yang menjadi inspirasi kepada generasi muda dan seluruh rakyat.