NADI MCMC Diiktiraf Cemerlang, Raih Anugerah Perkhidmatan Terbaik

Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus membuktikan kecemerlangannya apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Terbaik sempena Program MADANI Rakyat (PMR) Melaka 2025, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengiktirafan itu menjadi bukti komitmen berterusan NADI dalam memperkasa masyarakat melalui teknologi digital dan literasi maklumat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman dan kemajuan berasaskan ilmu.

Program PMR Melaka merupakan sebahagian daripada siri jelajah nasional yang bermula di Tawau, Sabah, dan telah menjelajah ke sembilan lokasi termasuk Melaka, dengan sambutan luar biasa daripada rakyat pelbagai lapisan.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, reruai NADI menjadi tumpuan ribuan pengunjung dengan pelbagai demonstrasi teknologi interaktif seperti pameran dron, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti robotik dan STEM melalui modul Tiny Techies, selain pemeriksaan kesihatan jantung berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Golongan belia turut menunjukkan minat tinggi melalui Kempen Internet Selamat (KIS) dan pertandingan e-Sukan NADI MADANI seperti Mobile Legends dan e-Football, yang bukan sahaja menggalakkan penggunaan teknologi secara selamat tetapi juga memperkukuh semangat komuniti digital,” jelas MCMC.

Tambah kenyataan itu, Perkhidmatan Pintar NADI menjadi teras kepada program tersebut dengan memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran digital dan inisiatif kerajaan.

“Sepanjang siri PMR 2025, lebih 10,000 ahli baharu telah mendaftar dengan NADI, manakala lebih 15,000 pengunjung menyertai aktiviti interaktif dan bengkel digital di seluruh negara, membuktikan sambutan hangat terhadap usaha memperluas celik digital secara inklusif,” menurut kenyataan itu.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU JPM)Mohd Zainuddin Mohd Noor, kepada Ketua Pejabat NADI MCMC, Mohd Arif Adenan, sebagai penghargaan atas kecemerlangan pelaksanaan program.

Lebih membanggakan, MCMC memaklumkan bahawa inisiatif NADI turut meraih pengiktirafan antarabangsa apabila menjuarai kategori ‘Capacity Building’ di World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 yang berlangsung di Geneva pada Julai lalu.

Sehingga kini, terdapat 1,099 pusat NADI di seluruh negara dengan lebih 1.8 juta ahli berdaftar, sejajar dengan aspirasi ‘1 DUN 1 NADI’ bagi memastikan setiap komuniti menikmati peluang digital yang inklusif dan saksama.