
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggesa langkah tegas diambil bagi menghalang kanak-kanak bawah umur daripada mengakses aplikasi TikTok, demi melindungi mereka daripada kandungan berisiko dan tidak sesuai.
Gesaan itu dibuat selepas mesyuarat bersama wakil TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Peguam Negara di Bukit Aman pada Khamis.
More interested news..
Menurut Fahmi, semakan pihak berkuasa mendapati ramai pengguna bawah umur, termasuk murid sekolah rendah, memiliki akaun TikTok walaupun syarat platform itu melarang individu di bawah usia 13 tahun.
“Semakan mendapati sistem sedia ada gagal menyekat pengguna bawah umur. Malah, ramai murid sekolah rendah seawal tahun satu sudah ada akaun TikTok,” katanya.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Fahmi berkata, TikTok perlu merangka mekanisme jelas untuk mengesahkan umur pengguna, termasuk menerusi sistem electronic Know Your Customer (e-KYC), atau mengehadkan akses kepada fungsi tertentu seperti komen dan perkongsian video sehingga identiti disahkan.
“Negara seperti Singapura, Australia dan China sudah menggunakan kaedah ini. Kalau tiada pengesahan, beberapa ciri disekat. Kita beri masa kepada TikTok tentukan tindakan mereka,” katanya.
Mesyuarat itu turut membincangkan kerjasama membanteras berita palsu, termasuk video tular baru-baru ini membabitkan individu menyamar sebagai pakar bedah dalam kes Zara Qairina Mahathir.
Sebelum ini, pihak berkuasa melalui Op Pedo turut mengesan kandungan berunsur tidak bermoral, termasuk pedofilia, menerusi kumpulan dalam WhatsApp dan Facebook seperti ‘Geng Budak Sekolah’.
“Kami dapati ada platform tidak serius tangani isu ini. Dialog akan diteruskan dan kami tegaskan undang-undang Malaysia tetap terpakai serta wajib dipatuhi. Semua platform akan dipanggil,” tegas Fahmi.











